December 15, 2010

UWAIS AL-QARNI-pengembala unta yang zuhud

Nama beliau mungkin tidak semasyhur nama para sahabat nabi yang lain, namun beliau mempunyai kisah tersendiri di waktu kehidupan Rasulullah s.a.w. Uwais Al-Qarni, seorang hamba Allah yang bertakwa dan merupakan seorang pengembala unta kepunyaan saudara kandungnya di daerah yang bernama Qarni. 
 
Pada suatu hari,di kala mengembala unta-untanya di tengah panas yang terik, beliau menerima khabar berita mengenai Rasulullah s.a.w yang ketika itu sedang bertempur di medan peperangan Uhud. Uwais amat sedih dan merasa terharu apabila mendapat khabar bahawa gigi Rasulullah s.a.w telah patah dalam pertempuran itu. Oleh kerana kasihnya terhadap habibullah, Uwais pun mencabut sebatang giginya untuk merasai betapa sakitnya kesakitan yang dirasai Rasulullah s.a.w. Demikianlah, betapa mendalamnya cinta dan kasih Uwais terhadap Rasulullah s.a.w. 


 
 
Menurut sejarah, hanya sekali sahaja Uwais dapat bertemu Rasulullah s.a.w iaitu ketika baginda hendak berangkat keluar. Ini adalah kerana beliau terlalu sibuk mengembala unta-unta abangnya dan terpaksa menjaga ibunya yang telah tua. Tambahan pula kampung halamannya jauh dari kota Madinah. 
Pada suatu hari, Uwais telah mengunjungi rumah Rasulullah s.a.w. Malangnya baginda Rasulullah s.a.w tiada di rumah pada waktu itu. Oleh yang demikian Uwais pun meninggalkan pesan kepada Ummul Mukminin Siti Aisyah yang beliau akan datang lagi untuk menemui Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w pulang, baginda pun bertanya adakah sesiapa yang dating menemuinya. Isteri baginda menjawab pun menyampaikan pesanan Uwais. “Adakah engkau melihat wajahnya?”, tanya Rasulullah. Maka jawab Ummul Mukminin Siti Aisyah “Saya hanya lihat belakangnya sahaja”. Maka berkata Rasulullah s.a.w, “Engkau akan masuk syurga kalau memandangnya”. 

 
Ketika Rasulullah s.a.w sedang berada di akhir hayatnya, baginda telah berpesan agar baju yang sedang dipakainya itu diberikan kepada Uwais. Saidina Ali dan Saidina Umar pun bertanya kepada orang ramai kiranya da di antara mereka berasal dari Qarni. Seorang lelaki tampil ke hadapan lalu menyatakan kesanggupannya membawa kedua orang sahabat itu ke wilayah Qarni. 

 
Tidak lama kemudian setelah berjalan berbatu-batu jauhnya, mereka pun sampai ke wilayah Qarni. Mereka pun bertanya kepada orang-orang di desa itu rumah si pengembala unta itu. Penduduk kampung itu sungguh terperanjat kerana tidak menyangka dua tokoh besar sahabat Rasulullah s.a.w ingin berjumpa dengan seorang pengembala unta yang sungguh dhaif. 

 
Apabila mereka sampai di tempat Uwais berada, mereka melihat beliau sedang menunaikan solat. Setelah selesai solat, Uwais pun berkata “Sesungguhnya inilah kali pertama orang melihat aku solat”. Kedua-dua orang sahabat itu memperkenalkan diri masing-masing setekah memberi salam kepadanya. Mereka kemudiannya menyampaikan pesanan Rasulullah s.a.w dan menyuruh Uwais mendoakan keampunan untuk para umat Nabi Muhammad s.a.w. Di atas permintaan mereka, Uwais dengan rendah hati menunaikannya. 

 
Kedua-dua orang sahabat itu pun bertanya kepada Uwais, “Kami ingin bertanya kepada tuan.Kiranya tuan benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w, kenapa tuan tidak selalu menziarahinya ketika baginda masih hidup?”. Uwais kelihatan sungguh tenang. Beliau tidak menjawab soalan itu sebaliknya Uwais bertanya balik, “Sekiranya tuan benar-benar bertempur, tahukah tuan gigi Rasulullah s.a.w yang mana satukah yang tanggal dalam peperangan itu?”. Saidina Umar terpegun. Dia kagum dengan pemuda yang amat sederhana lagi teramat warak itu. Saidina Umar meminta Uwais mendoakannya. Uwais merenung Saidina Umar dengan muka yang berseri cahanya. “Hai Umar! Pada setiap solatku, aku mendoakan keampunan dan kesejahteraan untuk sekalian kaum muslimin. Kiranya engkau benar-benar bertaqwa kepada Allah, serta mentaati ajaran Rasul-Nya, nescaya engkau akan terima berkat doaku di akhirat kelak”, kata Uwais. 

 
Saidina Umar pun berkata, “Aku sedia memberikan kedudukan khalifahku kiranya engkau terima hajatku”. Lalu Uwais pun menjawab, “Siapakah yang mahu menerimanya? Tiada siapa yang akan menerimanya sekalipun engkau menyerahkan dunia dan isinya kepadaku”. 
Dua orang sahabat Rasulullah s.a.w itu pun meninggalkan tempat itu dengan perasaan kagum dan terharu setelah menemui orang yang disebutkan oleh baginda itu. Uwais al-Qarni, seorang yang tidak dikenali oleh penduduk dunia tetapi besar kedudukannya di sisi penduduk langit……… 
Renungilah dan hayatilah bersama….Banyakkanlah berselawat ke atas habibullah, tanda bukti kecintaan kepada baginda…Moga kita beroleh pahala dan jua barakah…Amin ya Rabbal ‘Alamin….. 

Sekian... 
Wassalam 

No comments:

Post a Comment

Salam ukhwah fillah.. harap sudilah follow