November 27, 2010

Keistimewaan Khadijah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; 
Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”
(Bukhari)
Huraian
 

         Rasulullah s.a.w memperisterikan saidatina Khadijah bukan kerana status sosialnya yang yang tinggi yang terkenal sebagai seorang yang hartawan lagi dermawan tetapi adalah kerana sifat saidatina Khadijah itu sendiri yang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia. Saidatina Khadijah adalah seorang yang berfikiran tajam, sabar dan berpandangan jauh. Lebih daripada itu, Khadijah adalah seorang isteri yang benar-benar memahami keadaan suaminya. 
         Ini terbukti ketika mana pertama kali baginda menerima wahyu dilantik menjadi utusan Allah, Khadijahlah yang menenangkan hati baginda dan kemudian mempertemukan baginda dengan sepupunya Waraqah bin Naufal yang mengatakan bahawa baginda adalah seorang Nabi. 
         Khadijah sebenarnya adalah seorang isteri yang mampu menyuntik semangat seorang suami dalam menyempurnakan amanah kepada Allah bahkan beliaulah orang yang mula-mula memeluk Islam sebelum nabi berdakwah di kalangan para sahabat baginda yang lain. Dalam diri Khadijah ditemui teladan wanita terbaik; wanita yang subur dengan kasih-sayang yang juga telah melahirkan anak-anak baginda iaitu: al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayya, Umm Kulthum dan Fatimah. Dalam perjuangan baginda menegakkan agama Islam, Khadijahlah orang yang paling banyak berkorban, harta dan tenaga dalam mempertahankan baginda dari disakiti oleh kaum Quraisy. 
        Begitu banyak peranan yang telah dimainkan oleh khadijah bahkan boleh dikatakan bahawa beliau telah menjadi tulang belakang dalam kegiatan dakwah Rasulullah. Dan berpadanan dengan jasa dan pengorbanannya itu Allah S.W.T telah mengurniakannya sebuah rumah di dalam tempat yang paling mulia iaitu syurga.
»»  READMORE...

Abu Bakar Siddiq ra.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; 
Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Khalifah pertama sesudah wafatnya Rasulullah SAW, merupakan lelaki pertama yang masuk Islam. Pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga didalam Quran:
“Jikalau tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seseorang dari dua orang (Rasulullah dan Abu Bakar) ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya:”Janganlah berduka cita, sesungguhya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah ayat ke-40)
Abu Bakar Siddiq meninggal dalam umur 63 tahun, meriwayatkan 142 hadith.
»»  READMORE...

KISAH NABI IBRAHIM DENGAN MAJUSI

"Dalam suatu kisah pada zaman Nabi Ibrahim a.s., telah datang seorang Majusi ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk meminta sedikit makanan dan menumpang tidur di rumah baginda. Sebelum baginda bersetuju menolongnya, baginda telah bertanya kepada Majusi tersebut, apakah agama yang dianutinya. Si Majusi pun menjawab, dia menganut agama Majusi. Apabila mendengar jawapan Majusi tadi Nabi Ibrahim pun tidak mahu menolongnya. Lalu Majusi tadi pun beredarlah.

Sebaik sahaja Majusi itu pergi, Allah pun menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim yang bermaksud:
“Wahai Ibrahim, kenapakah kamu tidak menolong Majusi yang dalam kesusahan tadi, sedangkan Aku telah memberi rezeki kepadanya selama 40 tahun walaupun dia dalam keadaan kufur kepada Aku.”

Mendengar wahyu tersebut, Nabi Ibrahim segera mencari semula Si Majusi lalu diberi pertolongan padanya. Majusi tadi merasa hairan melihat perubahan sikap Nabi Ibrahim, lalu dia pun bertanya:
“Tadi kamu telah mengusir aku, tetapi Kenapa sekarang kamu menjemput aku semula?”

Nabi Ibrahim pun menjawab:
“Aku telah ditegur oleh Tuhanku bahawa walaupun engkau kufur pada-Nya tetapi dengan kasih sayang-Nya, selama 40 tahun Dia tidak pernah lupa untuk menurunkan rezeki untuk kamu, tetapi Kenapa aku tidak dapat menolongmu ketika kamu memerlukannya?”

Mendengarkan hal itu, Majusi tadi terus mengucap syahadah kerana katanya:
“Tuhan kamu ada kasih sayang, tapi tuhan aku tidak ada kasih sayang.”

Begitulah Tuhan, walaupun hamba-Nya menderhakai-Nya, tetapi kasih sayang-Nya tetap melitupi semua makhluk-Nya.Oleh itu salah satu cara untuk mendapatkan rasa bertuhan ialah sentiasa mengenangkan kasih sayang Tuhan yang tidak terhingga. Nikmat oksigen, naik turunnya nafas, kerdipan mata, denyutan jantung, sudah cukup menjadi tanda-tanda kasih sayang dan tanda kebesarannya.

Bila mengenangkan kasih sayang Tuhan ini, sudah tentu rasa diri lemah. rasa-rasa inilah yang dikatakan rasa kehambaan. rasa kehambaan inilah yang akan mendorong untuk melaksanakan perintah Tuhan dan syariat-Nya.



»»  READMORE...

November 24, 2010

ANTARA SABAR DAN MENGELUH

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. "Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati." Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?" Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?" Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya.


Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua." Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?" Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya.

Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka." Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil keksaihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya." Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang." Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
»»  READMORE...

November 22, 2010

Aku hanyalah seorang hamba

Assalamu'alaikum wrh. Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual. Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang." Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') 'Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." "Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s.a.w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.

Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?" "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar." "Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?" Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nati, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak." Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu. Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita... adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasulullah s.a.w. hari ini? Apa yang kedengaran sehari-hari sepertimana yang didedahkan oleh media massa, hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka-mereka yang tidak berperanan di tempatnya.

Amat sukar hendak mencari seorang manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk orang lain semata-mata kerana takutkan ALLAH, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah. Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya

Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita. Nur Muhammad itu, yang ALLAH ciptakan semua makhluk yang lain kerananya, mempunyai kekuatan dalaman paling unggul. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

»»  READMORE...

November 21, 2010

Keistimewaan Saiyyidatina Khadijah

ISTERI Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah binti Khuwailid ialah wanita pertama beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan mengukuhkan tekad, Nabi Muhammad dalam melaksanakan risalah dakwah Islamiah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan suaminya dalam berdakwah.
Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan di belakang Rasulullah.
Rasulullah ketika menceritakan keperibadian Khadijah bersabda, maksudnya: 
 “ Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan… daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”
Siti Khadijah berasal daripada keturunan terhormat serta terkenal sebagai wanita tegas dan cerdas.
Beliau adalah wanita kaya dan terkenal serta mampu hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas suaminya.Hal ini menunjukkan beliau adalah wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan Rasulullah sepanjang kehidupan mereka.
Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah, Siti Khadijah setia menyertai Baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan Baginda.
Sekiranya Baginda khusyuk bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga Rasulullah pulang.
Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah, Siti Khadijah pasti bersama dan membantu Baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.
Kecintaan Siti Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya jelas berlandaskan keyakinan kuat terhadap keesaan Allah.
Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah. Allah Maha Adil dalam memberi rahmatNya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.
Firman Allah bermaksud: 
 “Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)
Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Siti Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah, malah membawa barakah besar kepada rumah tangga mereka.
Anak yang lahir juga adalah soleh. Keturunan zuriat ahlulbait Rasulullah adalah insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah.Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.
p/s=> ‘Wanita solehah sebaik-baik perhiasan dunia’



 
»»  READMORE...

Salam ukhwah fillah.. harap sudilah follow