December 28, 2010

TERJUN DARI MENARA KERANA TAKUTKAN DOSA

Dikalangan Bani Israil dahulu, ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah. Ia mempunyai wajah yang kacak dan segak. Ramai wanita tertawan dengan ketampanannya. Namun rasa takutnya kepada Allah SWT menjadi pendinding utama mengawalnya daripada berfoya-foya.
Suatu masa, ketika sedang menjaja tas keranjang daun kurma buatannya sendiri, ia sampai di hadapan istana raja. Kebetulan salah seorang daripada dayang istana itu temampak lelaki tersebut dan terpesona dengan ketampanannya. Dayang itu kemudiannya bercerita mengenai lelaki itu kepada permaisuri raja. Permaisuri begitu tertarik lalu timbul niat jahat di hatinya. “Suruh orang muda itu masuk menghadap,” titahnya kepada dayang tersebut.

 

 Apabila lelaki itu berada di hadapannya, permaisuri menyerahkan sepasang persalinan pakaian diraja dan berkata, “Letakkan semua tas keranjangmu itu dan pakailah pakaian ini.” Kemudian permaisuri itu menyuruh dayangnya mengambil minyak wangi untuk dipakaikan kepada lelaki tersebut.
Tanpa mengesyaki apa-apa, lelaki itu melakukan segala suruhan permaisuri. Lalu permaisuri itu pun berkata, “Orang muda! Kamu jangan khuatir. Beta akan memenuhi segala keperluanmu asalkan kamu bersedia memenuhi nafsuku.”
Sebaik sahaja terdengar kata-kata yang tidak disangka-sangkanya itu, gementarlah lelaki itu lalu berkata, “Aku tidak akan melakukan perbuatan terkutuk itu!”
Permaisuri cuba juga memujuk lelaki itu berkali-kali, tetapi gagal mempengaruhinya. Akhimya dengan perasaan marah, ia berkata, “Baiklah! Kalau kamu enggan memenuhi hajatku, kamu tidak boleh keluar dari sini.” Kemudian permaisuri mengarahkan dayang-dayangnya menutup semua pintu dan tingkap istana.
Setelah semua jalan keluar ditutup,lelaki itu bertanya, ” Wahai permaisuri! Bolehkah bawakan saya ke tempat yang paling tinggi dalam istana.”
Dengan harapan hajatnya akan dipenuhi, permaisuri itu pun membenarkan lelaki itu naik ke menara istana. Apabila telah berada di puncak istana, lelaki itu berkata kepada dirinya sendiri, “Wahai jiwa! Selama 70 tahun kamu beramal mencari keredhaan Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, apakah kamu akan merosakkannya dalam beberapa saat semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu dan syaitan? Demi Allah! Kau mengkhianati dirimu sendiri jika engkau tunduk kepadanya!”
Dalam keadaan malu dan, takut untuk melakukan maksiat kepada Allah, lelaki itu pun terjun dari menara yang tinggi itu.
Lalu Allah SWT yang Maha Pemurah dan Pengasih itu pun berfirman: “Wahai Jibril! Hamba-Ku itu terjun lantaran takut kepada kemurkaan-Ku dan kedosaan. Hamparkan sayapmu untuk menyambutnya, jangan sampai ia binasa!”
»»  READMORE...

December 27, 2010

SAYYIDAH NAFISAH DAN GABENOR ZALIM

Diceritakan bahawa di waktu hidup Sayyidah Nafisah ada seorang gabenor zalim yang suka menyeksa rakyatnya tanpa alasan yang munasabah. Suatu hari dia telah memerintahkan kepada beberapa orang pegawainya agar menangkap seorang yang dikehendaki untuk diseksanya.

Mendengar dirinya akan ditangkap, orang yang dikehendaki itu lari ke rumah Sayyidah Nafisah minta perlindungan dan jaminan. Bagaimanapun petugas gabenor dapat mengesannya. Orang yang dikehendaki ketakutan apabila petugas gabenor datang untuk menangkapnya.

“Insya Allah setelah engkau menghadapnya, engkau akan dibebaskan. Pergilah jangan takut, semoga Allah akan menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim,” kata Sayyidah Nafisah kepada orang yang akan dizalimi.


Maka pergilah lelaki itu bersama orang-orang gabenor yang zalim sehingga sampai di istana. Para petugas yang mengawalnya membawa lelaki itu ke hadapan gabenor yang sedang duduk di balai penghadapan.

“Mana orang yang saya suruh tangkap itu?” tanya gabenor kepada para petugas.

“Yang berdiri di hadapanmu itulah,” jawab mereka.

“Di mana dia? Aku tidak nampak pun,” kata gabenor kebingungan.

“Ini dia tuan, takkan tuan tidak nampak,” kata mereka lagi.

“Sungguh aku tidak melihatnya,” kata si gabenor. “Pelik betul, apa yang terjadi dengan dia?”

Sebelum dibawa ke sini, dia telah pergi ke rumah Sayyidah Nafisah dan memohon doa. Lalu beliau berdoa: “Semoga Allah menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim.” Kata para petugas memberikan keterangan.

“Masya Allah kalau begitu aku memang seorang yang zalim. Apa akan jadi kalau semua orang yang teraniaya dihijab oleh Allah dari penglihatanku?” kata gabenor. “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu.”

Gabenor kelihatan sangat menyesal dan takut, lalu dibukanya tutup kepalanya. Kerana dia telah betul-betul bertaubat, tiba-tiba dia melihat lelaki yang dikehendakinya berdiri tegap di hadapannya. Dia meminta maaf dan mengucup kepala lelaki itu. Lalu dikeluarkannya beberapa helai baju yang bagus dan sejumlah wang dan diberikannya kepada lelaki itu sebagai rasa syukurnya. Selepas itu gabenor yang telah bertaubat itu mengeluarkan sejumlah hartanya lagi dan disedekahkannya kepada fakir miskin. Dia juga menghantar utusan kepada Sayyidah Nafisah dengan membawa wang seratus ribu dirham untuk diberikan kepada beliau.

Wang itu diterima oleh Sayyidah Nafisah lalu dibukanya ketika itu dan dibahagi-bahagikan kepada orang lain yang memerlukannya sehingga habis.

“Wahai Sayyidah Nafisah! seandainya engkau tinggalkan sedikit wang untuk membeli buka puasa kita, itu kan baik,” kata perempuan-perempuan sufi yang ada di sekitarnya.

“Ambillah benang yang telah kupintal dengan tanganku sendiri dan jual. Hasilnya belikan makanan untuk buka puasa kita,” kata Sayyidah.

Pergilah perempuan itu menjual benang hasil pintalan tangan Sayyidah Nafisah yang mulia itu, dan hasilnya dibelikan makanan untuk berbuka puasa mereka. Dengan demikian, Sayyidah Nafisah tidak mengambil sedikit pun wang yang diberikan oleh gabenor.
»»  READMORE...

Tuhan tuan-tuan semua ada ti tapak kaki saya

Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secaraberamai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.



Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka,beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing.Ada yang bersolat. Ada yang berwirid. Ada yang membaca Quran. Ada yang bermuzakarah. Ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.

Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.

Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek sahaja.Dia berkata:

“Tuan-tuan dan para hadirin sekelian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.”

Dengan itu, majlis terkejut dan menjadi gempar dan riuh rendah.Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati.Bagaimanakah seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.

Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika diadapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.

Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai,Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan.

Kadhi bertanya, “Benarkah pada sekian tempat, tarikh dan masa sekian, Tuan Syeikh ada berkata di khalayak ramai bahawa tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?”

Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya ada kata begitu.”

Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?”

Jawab Syeikh Abdul Qadir , “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silalah lihat tapak kaki saya.”

Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.

Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajar bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

SYEIKH ABDUL QADIR JAILANI berkata:
“Ketahuilah bahawa agamamu akan hilang disebabkan 4 perkara:
1. Kamu tidak mengamalkan apa yang telah kamu ketahui.
2. Kamu mengamalkan apa yang tidak kamu ketahui.
3. Kamu tidak mahu berusaha mengetahui apa yang tidak kamu ketahui, sehingga tetap bodoh.
4. Kamu melarang manusia untuk berusaha mengetahui apa yang mereka tidak mengetahuinya.”
»»  READMORE...

Berkat Tawakal Si Anak Kecil

Zunnun Al Mishri, seorang ahli sufi terkenal, pergi menjala ikan di laut bersama-sama anak gadisnya yang masih kecil. Setelah bersusah payah menebarkan jala beberapa lama, akhirnya beliau berjaya menangkap seekor ikan. Anak gadisnya melihat mulut ikan itu bergerak-gerak seperti sedang berzikir, lalu dia mengambil ikan itu dan mencampakkannya ke laut semula. 


Zunnun terkejut dan hairan. "Mengapa kau membuang rezeki yang kita perolehi?" tanyanya. 
Anak itu menjawab: "Saya tidak rela makan makhluk yang berzikir kepada Allah. Ayah, marilah kita bertawakal kepada Allah semoga Dia merezekikan kita benda yang tidak berzikir kepada-Nya." 

Kedua-duanya pun balik dengan tangan kosong. Setelah petang mereka belum juga mendapat sesuatu untuk dimakan sedangkan perut sudah mulai lapar. Apabila malam, tiba-tiba turunlah hidangan dari langit yang terdiri daripada berbagai jenis makanan. Maka makanlah keduanya dari rezeki itu. Keadaan itu berlangsung sampai lebih kurang 12 tahun. 

Zunnun menyangka bahawa kurnia dari Allah itu adalah disebabkan dirinya yang banyak beribadah dan berdoa kepada Allah. Sehinggalah suatu hari anak perempuannya itu meninggal dunia. Ternyata hidangan dari langit tidak turun lagi berikutan kematian anaknya itu. Barulah Zunnun sedar bahawa kurnia Allah itu disebabkanketinggian tawakal anak perempuannya yang sudah mati itu.
»»  READMORE...

December 26, 2010

Agungnya Cinta Allah: Kisah Rabiatul Adawiyah

Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.


Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!


“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”

Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”

Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”

Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”

Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.
»»  READMORE...

Salam ukhwah fillah.. harap sudilah follow